IPOH: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengesahkan dirinya tidak akan bertanding bagi merebut mana-mana jawatan tertinggi di Pusat pada Pemilihan UMNO 2023.

Saarani berkata, walaupun sebagai ahli yang mempunyai hak untuk berbuat demikian namun ujarnya beliau tidak mempunyai cita-cita menjawat mana-mana jawatan tertinggi parti.

Beliau sebaliknya memberi gambaran untuk mempertahankan jawatannya yang sedang disandang dalam parti di peringkat negeri.

“Saya hanya pemimpin kecil sahaja, 'main' di Negeri Perak sudah cukup. Saya tak ada cita-cita besar seperti itu (mahu jawat jawatan tertinggi parti).

“(Dan berkaitan dengan perjalanan menjelang pemilihan parti) seperti biasa setiap ahli ada hak untuk bertanding mana-mana jawatan mengikut perlembagaan dan peraturan persidangan UMNO,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media Pelancaran Bantuan Sara Diri Mahasiswa dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa, serta Penyerahan Sumbangan Bantuan Makanan Pelajar dekat sini pada Rabu.

Media sebelum ini melaporkan UMNO akan mengadakan pemilihan parti bermula pada 1 Februari hingga 18 Mac depan di semua peringkat bagi mematuhi pindaan perlembagaan yang diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Majlis kerja tertinggi (MKT) UMNO dilaporkan memutuskan bahawa pencalonan untuk peringkat bahagian dan Pusat akan dibuka pada 13 hingga 26 februari ini.

Dalam pada itu, Saarani yang juga Menteri Besar Perak turut ditanyakan tentang kekosongan kerusi Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak selepas Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman digantung keahlian selama enam tahun.

Saarani menjelaskan jawatan itu kini dipangku Khairul Azwan Harun sehingga mesyuarat perwakilan bahagian diadakan kelak.

Menurutnya lagi bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu juga tidak boleh membuat rayuan bagi menarik balik keputusan penggantungan keahlian itu selepas ditolak MKT.

“Keputusan telah dibuat yang mana beliau dijatuhkan hukuman itu pada tahun lalu dan kemudian membuat rayuan kepada parti. Rayuan itu telah dibincangkan dalam MKT dan kemudian menolak rayuan itu.

“Justeru ia bermakna hukuman itu telah terlaksana dan beliau harus menunggu (menjalani hukuman penggantungan keahlian) selama enam tahun itu,” jelas Saarani.